Perkara-Perkara Asas Tentang Solat Fardu

Artikel ini menerangkan tentang perkara-perkara asas tentang solat fardu yang menjadi kewajipan ke atas orang Islam yang mukallaf.

Ia meliputi syarat wajib solat, syarat sah solat, rukun solat, pembahagian rukun solat, perkara-perkara sunat dalam solat, perkara-perkara makruh dalam solat dan perkara-perkara yang membatalkan solat.

Semoga tulisan ini dapat dimanfaatkan bersama dalam mempelajari perkara asas tentang solat.

Syarat Wajib Solat

Syarat wajib solat ada tiga iaitu:

  1. Islam (tidak wajib solat bagi orang kafir)
  2. Berakal (tidak wajib bagi orang gila)
  3. Baligh (tidak wajib bagi kanak-kanak yang tidak mumayyiz)

Nota: Maksud mumayyiz ialah kanak-kanak yang boleh membezakan perkara yang baik dan buruk. 

Syarat Sah Solat

Syarat sah solat ada lima iaitu:

  1. Suci daripada hadas
  2. Suci daripada najis
  3. Menutup aurat
  4. Mengadap kiblat
  5. Yakin masuk waktu solat

Rukun Solat

Rukun solat ada 13 perkara iaitu:

  1. Niat
  2. Berdiri betul bagi mereka yang berkemampuan
  3. Takbiratulihram
  4. Membaca sura al-Fatihah
  5. Rukuk yang disertai dengan tamakninah
  6. Iktidal yang disertai dengan tamakninah
  7. Sujud yang disertai dengan tamakninah
  8. Duduk antara dua sujud yang disertai dengan tamakninah
  9. Duduk membaca tahiyat akhir
  10. Membaca tahiyat akhir
  11. Selawat ke atas nabi
  12. Memberi salam pertama
  13. Tertib

Nota: 

Maksud tamakninah ialah berada dalam keadaan tenang, diam atau berhenti seketika dengan sekadar membaca tasbir Subnanallah.

Tertib ialah mengikut urutan yang ditentukan dari awal hingga akhir solat.

Pembahagian Rukun Solat

Pembahagian rukun solat terbahagi kepada tiga perkara iaitu:

  1. Rukun qauli (perkataan)
  2. Rukun fi’li (perbuatan)
  3. Rukun qalbi (hati)

Rukun qauli (perkataan)

Rukun qauli ada lima perkara iaitu:

  1. Takbiratulihram (Allahuakbar)
  2. Membaca fatihah
  3. Membaca tahiyat akhir
  4. Selawat ke atas nabi pada tahiyat akhir
  5. Memberi salam

Rukun fi’li (perbuatan)

Rukun fi’li ada enam perkara iaitu:

  1. Berdiri betul
  2. Rukuk
  3. Iktidal
  4. Sujud
  5. Duduk di antara dua sujud
  6. Duduk membaca tahiyat akhir

Rukun qalbi (hati)

  1. Niat
  2. Tertib

Perkara-Perkara Sunat Dalam Solat

Perkara sunat dalam solat terbahagi kepada dua iaitu

  1. Sunat ab’ad
  2. Sunat hay’at

Sunat Ab’ad

Sunat ab’ad ialah perkara-perkara yang sangat dituntut dalam solat. Jika tertinggal hendaklah digantikan dengan sujud sahwi.

Terdapat 9 sunat ab’ad iaitu:

  1. Membaca tahiyat awal (pertama)
  2. Selawat dalam tahiyat awal
  3. Duduk tahiyat
  4. Selawat ke atas keluarga nabi dalam tahiyat akhir
  5. Membaca doa qunut
  6. Membaca selawat ke atas keluarga dan sahabat nabi dalam doa qunut
  7. Membaca selawat ke atas nabi selepas doa qunut
  8. Salam ke atas nabi, keluarga dan sahabat baginda.
  9. Berdiri ketika membaca doa qunut.

Nota: Sujud sahwi dilakukan sebanyak dua kali sujud setelah selesai membaca tahiyat akhir sebelum salam. Hukumnya adalah sunat.

Bacaan dalam sujud sahwi ialah 

سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَيَسْهُوْ

Maksudnya: Maha Suci Allah yang tidak tidur dan lupa.

Sunat Hay’at

Sunat hay’at ialah perkara-perkara dalam solat yang jika tertinggalnya tidaklah dituntut melakukan sujud sahwi.

Terdapat 14 sunat hay’at iaitu:

  1. Mengangkat tangan ketika takbiratulihram
  2. Meletakkan tangan kanan ke atas tangan kiri
  3. Membaca doa iftitah
  4. Membaca ta’awwuz (A’uzubillahi minas syaitanir rajim)
  5. Menyaringkan suara bacaan al-Fatihah pada solat subuh, isyak dan maghrib. Memperlahankan suara bacaan al-Fatihah pada solat zohor dan asar
  6. Membaca amin selepas al-Fatihah
  7. Membaca mana-mana surah dalam al-Quran selepas bacaan al-Fatihah
  8. Membaca takbir semasa hendak rukuk (Allahu akbar)
  9. Membaca tasbih semasa rukuk
  10. Membaca tasbih semasa sujud
  11. Meletakkan kedua tangan di atas paha dengan melepaskan kesemua jari-jari.
  12. Duduk iftirasy (duduk dengan telapak kaki kiri dijadikan alas untuk duduk sementara telapak kaki kanan ditegakkan dengan jari-jari kaki kanan menghadap kiblat (ketika duduk antara dua sujud dan duduk membaca tahiyat awal).
  13. Duduk tawaruk (duduk dengan kaki kiri di bawah kaki kanan dan telapak kaki kanan ditegakkan (ketika duduk membaca tahiyat akhir).
  14. Salam kedua

Perkara-Perkara Makruh Ketika Solat

Di antara perkara-perkara makruh ketika solat ialah:

  1. Berpaling ke kanan dan kiri
  2. Memandang ke atas
  3. Menyinsing kain atau baju
  4. Solat dalam keadaan menahan kencing atau air besar
  5. Solat ketika makanan telah terhidang
  6. Solat dalam keadaan terlalu mengantuk

Perkara-Perkara Yang Membatalkan Solat

Di antara perkara-perkara yang membatalkan solat ialah

  1. Murtad
  2. Bergerak lebih daripada tiga kali berturut-turut
  3. Berpaling dada dari arah kiblat
  4. Makan dan minum
  5. Bercakap atau mengeluarkan suara selain daripada bacaan solat
  6. Datang hadas kecil atau hadas besar
  7. Terkena najis pada anggota badan atau pakaian yang tidak dimaafkan
  8. Berubah niat daripada solat

Leave a Comment